Monday 5 December 2011

Larian

 LARI PECUT
Lari pecut adalah aktiviti  membuat larian untuk satu jarak dengan sepantas yang terdaya. Kepantasan larian bergantung kepada dua faktor utama iaitu:-
a)         Panjang langkah.
b)         Kekerapan langkah.

Terdapat beberapa prinsip asas acara lari pecut. Antaranya adalah:-
a)         Berlari di atas hujung kaki bukan di atas tapak kaki.
b)         Kaki belakang diluruskan setiap kali mengakhiri tolakan yang dibuat oleh kaki tersebut.
c)         Tangan digerakkan dengan pantas.
d)         Leher dan bahu hendaklah berada dalam keadaan selesa dan tidak ditegangkan.

Teknik Memulakan Lari Pecut
Terdapat dua teknik untuk memulakan acara lari pecut ini iaitu:-
a)         Gaya berdiri.
b)         Gaya dekam.

A.        Gaya Berdiri
Gaya berdiri ini seringkali dilakukan semasa pelari telah bersedia untuk memulakan larian dari sesuatu tempat. Terdapat beberapa teknik dalam gaya ini yang mesti dilakukan untuk memulakan acara lari pecut ini. Antaranya ialah:-
a)         Kaki hadapan diletakkan seberapa dekat yang boleh dengan titik atau garis mula.
b)         Bengkokkan sedikit kaki hadapan.
c)         Berat badan ketika membuat persediaan hendaklah terasa seperti telah terkumpul di kaki hadapan.
d)         Condongkan badan ke hadapan.
e)         Tangan hendaklah dalam keadaan bersedia untuk bergerak.
f)         Apabila mula berlari, kaki hadapan hendaklah menolak keseluruhan bahagian badan dengan kuat.
g)         Semasa berlari, peserta hendaklah berlari dengan lurus dan memandang tepat ke arah hadapan.


B.        Gaya Dekam

Latihan Memulakan Gaya Dekam
Terdapat beberapa langkah yang boleh digunakan semasa mengadakan latihan memulakan gaya dekam ini. Antaranya ialah:-
a)         Berada dalam kedudukan sedia dalam gaya berdiri.
b)         Kemudian, rendahkan badan.
c)         Melutut dengan kaki belakang.
d)         Kedua-dua tangan menyentuh tanah.

Terdapat tiga jenis gaya dekam yang harus diketahui dan dipelajari iaitu:-
a)         Gaya peluru
b)         Gaya sederhana
c)         Gaya panjang

Bagi gaya peluru, kedua-dua belah kaki mesti dirapatkan, iaitu hujung belakang ditempatkan selari dengan bahagian tumit kaki hadapan. Semenatara bagi gaya sederhana pula, lutut kaki belakang selari dengan hujung kaki hadapan. Kedua-dua gaya ini biasanya dilakukan oleh para pelajar sekolah manakala gaya panjang pula biasanya dilakukan oleh peserta-peserta yang tinggi. Dalam gaya panjang ini, lutut kaki belakang adalah selari dengan bahagian tumit kaki hadapan.
Walaubagaimanapun, kesesuaian dan keberkesanan sesuatu gaya ini dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antaranya ialah:-
a)         Bentuk badan peserta (tinggi/rendah)
b)         Masa tindak balas peserta
c)         Kekuatan kaki
d)         Kordinasi yang cekap

Menggunakan Blok Mulaan
Blok mulaan ini digunakan untuk menghasilkan suatu daya tolakan yang maksimum (lebih berkesan) apabila pelari mula bergerak ke hadapan. Cara menyediakan blok mulaan adalah seperti berikut:-
a)         Jarak blok dari garis permulaan hendaklah memberi keselesaan, imbangan dan kecekapan mekanikal kepada penggunanya ketika dalam keadaan sedia.
b)         Jarak di antara bahagian hadapan blok dengan garis permulaan adalah di antara 30 – 48cm.
c)         Jarak di antara bahagian belakang blok dengan bahagian hadapan blok adalah bergantung kepada jenis gaya dekam yang digunakan.
d)         Melakukan beberapa percubaan untuk mencari kesesuaian blok dan jaraknya yang paling baik untuk pelari adalah perlu.
e)         Tentukan terlebih dahulu kaki manakah yang akan digunakan untuk memijak bahagian belakang blok.
f)         Pastikan blok dipasang dengan ketat dan kuat.

Keadaan “Ke Garisan”
Terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan semasa berada dalam keadaan “Ke Garisan”. Antaranya ialah:
a)         Berjalan menuju ke blok dan berdiri dengan blok itu berada di bawah kedua-dua belah kaki yang dikangkangkan.
b)         Dekam dan letakkan hujung kedua-dua belah kaki ke atas blok.
c)         Letakkan kedua-dua belah tangan di belakang garis mula. Jarak di antara kedua-dua belah tangan hendaklah sama luas dengan bidang bahu.
d)         Sesuaikan kedudukan badan untuk mendapatkan keselesaan dan imbangan yang maksimum.

Keadaan “Sedia”
Terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh peserta semasa berada dalam keadaan “Sedia’. Antaranya ialah:-
a)         Tinggikan sedikit bahagian pinggang dari aras bahu.
b)         Luruskan tangan dan gerakkan bahu ke hadapan garisan.
c)         Tekankan kedua-dua belah kaki dengan kuat ke atas blok mulaan.

Berlepas Dari Blok Mulaan
Berlepas dari blok mulaan merupakan satu tindakan ledakan. Semasa pelari berlepas dari blok mulaan, kedua-dua belah kaki pelari akan menolak blok dengan kuat dan pantas. Tangan pelari perlu dihayun untuk membantu pelepasan keseluruhan badan dari blok tadi. Bagi memastikan pelari dapat berlepas dengan pantas dan sempurna, beberapa pergerakan perlu dilakukan oleh pelari. Antaranya ialah:-
a)         Bergerak lurus ke hadapan tanpa menegakkan badan dengan serta-merta.
b)         Jarak langkah yang pertama dilakukan secara sederhana, tidak terlalu panjang dan tidak pula terlalu pendek.




Mulaan Di Bahagian Selekoh Di Lorong Larian
Sekiranya pelari harus memulakan larian dari bahagian selekoh lorong larian, blok mulaan hendaklah dipasang secara bersudut. Melalui cara ini, pelari tersebut akan dapat bergerak ke bahagian dalam lorong lariannya dengan lurus.

Menamatkan Perlumbaan Lari Pecut
Semasa menuju ke garisan penamat, seseorang pelari tidak digalakkan melompat ke garis tersebut, sebaliknya dia hendaklah terus berlari tanpa mengurangkan kepantasannya. Biasanya, dalam perlumbaan lari pecut, pelbagai gaya pelari yang boleh dilihat semasa tiba di garisan penamat. Antaranya ialah:-
a)         Ada sesetengah pelari yang menamatkan lariannya dengan cara mendepakan tangannya ke belakang dan badannya (bahagian torso) pula digerakkan ke hadapan.
b)         Ada juga sesetengah pelari yang menamatkan lariannya dengan gaya menundukkan bahagian kepalanya.
c)         Ada juga pelari yang memusingkan sebelah bahunya ke hadapan pada saat-saat akhir apabila tiba di garisan penamat.

Walau apapun gaya yang dilakukan oleh pelari untuk menamatkan larian pecut, adalah penting untuk bagi seseorang pelari itu mengekalkan postur mekanis yang baik. Ini kerana sekiranya sebaliknya berlaku, kepantasan dan imbangan badan pelari mungkin akan terjejas.

1 comment:

  1. terima kasih atas perkongsian, mohon untuk share dalam pdpr saya

    ReplyDelete