Monday, 5 December 2011

Rejam Lembing

Prinsip Asas Merejam Lembing
Merejam lembing berbeza daripada aktiviti membaling yang lain seperti melontar peluru dan melepar cakera. Ini kerana terdapat perbezaan di antara bentuk alatan yang digunakan dan juga kawasan untuk bergerak bagi ketiga-tiga acara sukan tersebut. Biasanya, dalam acara melontar peluru tindakan menolak untuk menggerakkan peluru itu digunakan manakala untuk acara melempar cakera ia melibatkan pergerakan melempar. Bagi acara merejam lembing pula, aksi membaling yang lebih kurang sama dengan tindakan membaling sebiji batu atau bola tenis digunakan.
Walaupun lembing berukuran kecil yang beratnya di antara 400 – 500 gm tidak terlalu berat, namun belum tentu ia dapat dibaling dengan mudah ke arah suatu jarak yang tertentu. Semasa merejam lembing, teknik keseluruhan badan digunakan untuk menghasilkan tindakan yang berkesan.
Latihan ansur maju hendaklah dimulakan dengan mempelajari tentang cara memegang lembing, berlari dengan lembing, merejam dengan cara berdiri dan seterusnya berlari sambil merejam lembing. Butiran seperti pentingnya meleding badan sebelum merejam, langkah larian yang licin, keadaan tangan yang lurus semasa membawa lembing dan tindakan tumit untuk membantu pergerakan badan adalah perlu ditekankan.

Keselamatan Semasa Merejam Lembing
Langkah keselamatan yang harus diambil supaya kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan semasa melakukan latihan merejam lembing. Antaranya adalah:-
a)         Semasa membawa lembing
            i)          Mata lembing hendaklah menghadap ke bawah.
            ii)         Jangan berlari.
b)         Semasa latihan
            i)          Pastikan tidak ada orang di kawasan balingan.
            ii)         Perhatikan pergerakan orang lain di sekitar kawasan.
iii)        Pelontar lain yang masih menunggu giliran mereka mestilah berada di kawasan selamat yang telah ditetapkan.


Latihan Merejam Lembing
A.        Teknik Memegang Lembing

Terdapat tiga teknik asas memegang lembing iaitu:-
a)         Memegang lembing antara jari telunjuk dengan ibu jari (dikenali sebagai gaya Amerika).
b)         Memegang lembing di antara ibu jari dengan jari tengah (dikenali sebagai gaya Finnish).
c)         Memegang lembing di antara jari telunjuk dengan jari tengah (dikenali sebagai “U-Grip).
Walau apa pun teknik atau cara yang digunakan, perlu dipastikan bahawa sebahagian daripada tapak tangan (termasuk jari-jari) sentiasa bersentuhan dengan balutan lembing itu. Selain itu, tapak tangan yang sedang memegang lembing hendaklah dihadapkan ke atas.

Gaya Membawa Lembing
Semasa bersedia untuk membuat larian, seseorang pelontar boleh membawa lembing dengan dua gaya. Gaya yang lebih biasa dan popular ialah gaya atas bahu. Dalam gaya ini lembing dipegang secara berpenjuru merentangi tapak tangan. Pelontar harus memegang lembing itu pada aras yang lebih kurang sama dengan aras telinga dan selari dengan tanah.
Gaya yang kedua ialah gaya sisi di mana lembing itu dipegang dengan tangan lurus ke belakang. Lembing itu berada di bahagian rusuk pada aras pinggang semasa pelontar bersedia untuk berlari, semasa berlari dan sehingga tiba masa lembing itu hendak dilancarkan.

Teknik Merejam Lembing Yang Betul
A.        Fasa Pergerakan
a)         Semasa membuat larian di landas laro (gaya atas bahu)
            i)          Lembing berada di atas kepala dan selari dengan tanah.
            ii)         Siku tangan yang  memegang lembing mengarah ke hadapan.
            iii)        Tangan yang bebas dibengkokkan dan menyilang badan di aras muka.
            iv)        Berlari dengan lurus.

b)         Semasa bersedia untuk merejam
            i)          Langkah akhir lebih besar daripada langkah-langkah sebelumnya.
ii)         Tumit kaki hadapan menekan kuat ke atas tanah apabila larian dihentikan dengan tiba-tiba.
iii)        Berat badan dirasa di kaki belakang.
iv)        Lentikkan badan ke belakang.

c)         Semasa merejam lembing
            i)          Tarik lembing dengan kuat melalui atas bahu.
            ii)         Tangan bebas digerakkan ke belakang.
            iii)        Kaki belakang menolak kuat (pergerakan pinggang).
            iv)        Berat badan dipindahkan ke kaki hadapan.

d)         Ikut lajak dan pulihan
i)          Kaki belakang bertapak di hadapan selari dengan garis lengkungan bulatan.
ii)         Bahu kanan menghala ke kawasan hadapan.
iii)        Mata mengikut pergerakan lembing.

Aktiviti/Permainan Berkaitan Dengan Latihan Merejam Lembing
a)         Membaling bola ke sasaran
Pelontar cuba membaling bola tenis supaya kena pada sasaran di dinding. Gaya membaling adalah dari belakang bahu dan atas kepala. Para pelontar boleh bermula dengan kedudukan berdiri atau secara berlari beberapa langkah sebelum membaling bola. Aktiviti ini boleh dipertandingkan sebagai permainan berpasukan atau berseorangan. Pasukan atau pemain perseorangan yang mendapat jumlah mata yang tertinggi di akhir bilangan pusingan yang telah ditetapkan dikira sebagai pemenang.
b)         Merejam lembing ke sasaran
Pelontar cuba merejam lembing ke sasaran yang ditandakan di atas tanah. Dalam aktiviti ini teknik menggerakkan lembing dan ketepatan mengenai sasaran lebih dititikberatkan daripada jarak rejaman lembing. Pasukan atau individu yang berjaya mengumpulkan jumlah mata yang tertinggi dikira sebagai pemenang. Bilangan rejaman bagi setiap pasukan atau individu ditetapkan terlebih dahulu.

Kesalahan Biasa Semasa Merejam Lembing
a)         Menggenggam lembing terlalu kuat.
b)         Larian tidak lurus dan langkah-langkah larian tidak teratur.
c)         Lembing tidak ditarik ke belakang degan sepenuhnya.
d)         Sudut rejaman terlalu besar menyebabkan lembing direjam terlalu tinggi ke atas.

Peraturan Asas Pertandingan Merejam Lembing
a)         Lembing mesti dipegang di bahagian balutannya.
b)         Rejaman dikira batal sekiranya mata lembing (kepalanya) tidak menyentuh tanah terlebih dahulu iaitu tidak mendahului bahagian-bahagian lain lembing.
c)         Rejaman dikira batal jika pelontar menyentuh garis lengkungan bulatan atau kawasan di hadapannya.
d)         Pelontar hanya boleh meninggalkan landas lari setelah lembing itu mendarat.
e)         Lembing mestilah direjam melalui atas bahu atau bahagian lengan.
f)         Cara merejam yang luar biasa tidak dibenarkan.

Walau apapun gaya yang dilakukan oleh pelari untuk menamatkan larian pecut, adalah penting untuk bagi seseorang pelari itu mengekalkan postur mekanis yang baik. Ini kerana sekiranya sebaliknya berlaku, kepantasan dan imbangan badan pelari mungkin akan terjejas.

1 comment: